Kewajaran Cukai Tambahan Ke Atas 'Orang Kaya'

Selepas menulis tentang Inheritance Tax pada posting lepas, rata-rata feedback yang diterima ialah kalau dikenakan ke atas orang kaya, tidak apa. Malah persepsinya ialah memang patut dikenakan atas orang kaya. Orang kaya ni banyak lemak dan sebagainya.

Tetapi ramai yang kurang sedar. Siapa pembayar cukai terbesar? Orang kaya. Pembayar zakat paling banyak? Orang kaya. Penderma terbesar tabung masjid? Orang kaya. Sponsor majlis buka puasa? Orang kaya. Sponsor jersi pasukan anak? Orang kaya.

Jika mereka ada bisnes, syarikat mereka bayar cukai, gaji mereka kena cukai pendapatan pada top rate, merekalah paling banyak bayar SST (dan sebelum ini GST) sebab paling banyak berbelanja.

Memandangkan mereka memiliki atau menguruskan bisnes dan paling banyak berbelanja maka wujudlah peluang pekerjaan orang-orang seperti kita yang bekerja di dalam bisnes mereka dan juga peluang kepada perniagaan kecil yang menjual kepada orang kaya.

Saya pernah dengar seorang Ustaz yang mengajar tasawuf di Masjid Bukit Damansara berkata dulu sebelum mengajar di Bukit Damansara, dia ingat Dato’-Dato’ atau orang kaya ni jahat-jahat belaka sebab dapat maklumat dari drama TV3. Lepas mengajar di sini, barulah sedar mereka ni baik-baik belaka.

Saya pun ada beberapa kenalan di peringkat C-level, pengarah dan pemilik perniagaan. Sebahagian besarnya orang baik yang menyumbang kepada negara. Begitu juga golongan elit di Bukit Damansara yang selalu saya perhatikan.

Persepsi negatif tentang orang kaya timbul kerana bila ada kes rasuah atau tax evasion besar di dalam atau luar negara, pasti mendapat publisiti luas. Tetapi sumbangan positif golongan ini kurang mendapat liputan.

Jika sebuah hospital kerajaan dibina menggunakan wang kerajaan, sebahagian besar daripada wang tersebut adalah hasil daripada cukai atas orang kaya, manakala pengguna utamanya ialah orang biasa seperti kita.

Memang wajar jika orang kaya membayar cukai yang lebih tinggi, sebab memang mereka mampu. Itu tanggungjawab mereka. Tetapi berhati-hati agar tidak terlalu membebankan mereka dengan menambah cukai sehingga dah mati pun kena cukai.

Jika mereka rasa tidak begitu kaya lagi kerana terlalu banyak cukai, mereka mungkin kurangkan belanja, kurangkan beli saham, kurangkan pengambilan pekerja, kurangkan derma dan kurangkan duit sponsor.

Kita juga yang merasai kesannya. Kalau kita yang kurangkan belanja mungkin kesan kepada ekonomi sangat kecil, tetapi jika orang kaya melakukannya secara kolektif, jauh lebih besar mudaratnya.

Nota:
1. Saya doakan bahawa para pembaca dan juga saya akan berpeluang merasai pengalaman mencapai status menjadi antara pembayar cukai dan zakat serta penderma terbesar.

2. Posting ini, seperti yang lain, ialah dari sudut kewangan. Jika yang anda nampak angle politik sahaja, saya tidak dapat membantu, kerana saya hanya boleh beri nasihat kewangan. Tapi saya boleh tolong recommend pakar psikiatrik yang bagus.

Layari www.razalirazman.com untuk artikel, ebook, risalah percuma dan perkhidmatan saya. termasuk ebook Membina Aset Kejayaan Mencapai Kebebasan Kewangan.

Comments

Popular posts from this blog

Inheritance Tax atau Cukai Pusaka Berpotensi Menimbulkan Kerumitan

Iktibar Kewangan Daripada Kisah Hidup Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Hutang PTPTN dan Tabungan Pendidikan