Iktibar Kewangan Daripada Kisah Hidup Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Semalam saya berkesempatan menonton dokumentari (2010) mengenai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di History Channel. Banyak iktibar yang boleh diambil, terutamanya dari segi kewangan.

Beliau telah naik ke puncak jaya dan kemudian jatuh kembali di hujung kariernya. Sehingga kontraknya tidak disambung kerana filem dan lagunya sudah tidak laku lagi.

Dipulau oleh wartawan, di ‘boo’ oleh penonton tempatan dan dianggap sebagai ‘has-been’ oleh industri.

Seperti kata orang jawa “He was forsaken by his own people”. Hanya diangkat sebagai legenda selepas meninggal dunia.

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah seorang yang amat pemurah dan akan memberi wang beliau kepada orang lain yang susah.

Memang Allahyarham tidak berminat dalam soal urusan wang. Tetapi kalaulah ada pengurus wang yang amanah dan boleh memberi nasihat serta menguruskan kewangannya dengan bijak pada zaman kegemilangan, sudah tentu keadaan lebih baik apabila cahayanya mula pudar.

Kita semua akan melalui zaman peak income, iaitu zaman kegemilangan kita, dan kemudian zaman di mana pendapatan tidak lagi sebesar itu atau tiada lagi pendapatan.

Kadangkala berakhirnya zaman peak income itu berlaku tiba-tiba atau dengan pantas seperti pemberhentian kerja. Bagi sesetengah orang ia berlaku secara beransur-ansur. Manakala bagi yang lain pula ia berlaku apabila bersara.

Lebih tinggi pendapatan, lebih sukar kesan berakhirnya zaman ini, lebih-lebih lagi apabila berlaku secara tiba-tiba.

Dalam dokumentari tersebut, Allahyarham Datuk Aziz Sattar berkata beliau pernah memberitahu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada masa beliau tengah top. “Lu tak payah cari wang, wang yang cari lu”.

Pada ‘zaman wang mencari kita’ kita perlu bersiap sedia untuk kemungkinan munculnya zaman di mana kita mungkin terpaksa mencari wang semula.

Nota: Sesiapa yang pernah mengikuti kursus perancangan kewangan pasti perlu melakukan case study, di mana gaji individu dalam kes terbabit diandaikan naik x% sehingga beliau bersara.

Assumption ‘salary growth of x% till retirement’ ini perlu dilakukan dengan amat teliti dan berhati-hati dalam dunia masa kini, di mana konsep job for life mungkin semakin pupus melainkan di sektor kerajaan.

Kadangkala bukan sahaja kenaikan gaji berisiko, gaji itu sendiri mungkin tidak wujud lagi akibat retrenchment atau VSS.

Comments