Hutang PTPTN dan Tabungan Pendidikan

Isu hutang PTPTN 36 bilion yang tidak dibayar mengundang pelbagai pandangan berbeza. Tetapi isu penting lain yang saya simpulkan daripada situasi ini ialah ramai yang tiada tabungan pendidikan untuk anak, menyebabkan pinjaman perlu dibuat.

Perbahasan sama ada patut simpan dalam SSPN, SSPN-i, TH, ASB, Takaful atau Unit Amanah sebenarnya bukan isu sebenar. Isunya bagi kebanyakan orang ialah dah mula tabung atau tidak?

Melainkan pendapatan anda cukup tinggi untuk biaya pendidikan anak terus daripada cashflow masa depan, tabungan pendidikan amat penting.

Lebih awal bermula, lebih rendah simpanan yang diperlukan. Seseorang yang bermula sejak anak lahir dan telah menabung 10 tahun, kemudian menghadapi masalah kewangan dan tidak membayar selama dua tiga tahun berada pada kedudukan lebih baik daripada seseorang yang hanya mula menabung selepas anak berusia 3 tahun dengan jumlah yang sama, tanpa berhenti menabung.

Lebih lambat anda bermula, lebih banyak yang perlu disimpan. Memang bukan semua yang mampu, tetapi sebahagian besar orang boleh menabung, walaupun jumlahnya sedikit.

Jadi sambil kita sembang kencang tentang isu hutang PTPTN, mungkin kita terlepas pandang bahawa kita boleh cuba melakukan sesuatu untuk mengelakkan anak kita daripada berhutang untuk melanjutkan pengajian.

Nota: Pandangan saya mengenai PTPTN ialah hutang perlu dibayar sepenuhnya (kecuali bagi golongan yang benar-benar tidak mampu). Melepaskan hutang begitu sahaja tidak adil kepada 

1) mereka yang tidak layak untuk pendidikan tinggi tetapi telah bekerja dan membantu menjana ekonomi negara sejak tamat sekolah lagi tetapi tidak menerima bantuan
2) mereka yang telah menabung dan menggunakan dana sendiri untuk membiayai pendidikan anak mereka
3) rakyat Malaysia umum yang bayar cukai untuk menanggung hutang tersebut jika pinjaman tidak dibayar
4) Peminjam masa depan yang mungkin tak dapat kemudahan sama kerana tiada lagi dana

Comments