Anda Mungkin Ada Kepentingan Dalam Saham Walaupun Tidak Melabur Dalam Pasaran Saham

Pasaran saham sedikit volatile kebelakangan ini. Tiada masalah bagi anda kerana anda tak melabur dalam saham. Tapi betul ke anda tiada kepentingan?

Anda ada caruman KWSP kan? Atau simpanan di TH atau pelaburan dalam ASB? Atau anda mungkin melabur dalam dana unit amanah (dana ekuiti atau seimbang).

Mahu atau tidak, anda sebenarnya terlibat juga dalam pasaran saham. Memanglah orang yang paling terkesan dengan turun naik pasaran saham ialah yang melabur terus dalam saham.

Tetapi pembeli dana ekuiti dan seterusnya dana bercampur unit amanah juga terlibat..

Begitu juga pelabur dalam ASB dan penabung TH, walaupun secara tidak langsung.

Institusi seperti ini ada melaburkan wang anda dalam saham. Modal atau simpanan anda mungkin kekal tetapi turun naik saham yang dipegang menentukan pulangan yang diberikan.

Malah pencarum KWSP juga turut terbabit kerana KWSP turut mempunyai peruntukan pelaburan saham tertentu dalam portfolio pelaburannya. Ini akan mempengaruhi pulangan yang diberikan.

Pendek kata hampir semua orang terlibat.

Pasaran saham ialah tempat di mana sesuatu syarikat meraih modal saham daripada awam, dengan menjual sebahagian daripada pemilikan dalam bentuk ekuiti menerusi IPO (Tawaran Awam Awal)

Awam ini bermaksud daripada pelabur institusi, korporat dan juga pelabur individu seperti kita.

Selepas mengumpul modal dan disenaraikan di Bursa, saham syarikat boleh dijual beli oleh peserta pasaran, yang terdiri daripada pelabur institusi, korporat, dan individu.

Jika saham syarikat itu naik atau turun, ia tidak memberi untung atau rugi tambahan kepada syarikat tersenarai. Sebaliknya ia menyebabkan untung dan rugi kepada pemegang saham.

Tetapi untung atau rugi syarikat berpotensi dan lazimnya merupakan faktor utama yang mempengaruhi harga saham dalam jangka panjang.

Jadi kesimpulannya di peringkat paling asas: Institusi seperti ASB, KWSP dan TH, serta pelabur individu membeli saham untuk bersama-sama mengambil kesempatan daripada untung dan nilai ekonomi yang dijana oleh syarikat-syarikat korporat tersenarai.

Jika syarikat tersenarai catat prestasi baik, pelabur mungkin untung. Manakala jika prestasinya kurang baik, pelabur mungkin rugi.

Nota: Anda mungkin bertanya mengapa penerangan di atas jauh berbeza daripada cara ramai orang main saham. Sebabnya ialah dalam jangka pendek, pelbagai faktor selain untung yang pengaruhi pergerakan saham dan inilah yang cuba diambil kesempatan oleh trader dan spekulator. Dalam jangka panjang prestasi untung akan menentukan.

--------

Layari www.razalirazman.com untuk artikel, risalah percuma, e-book dan perkhidmatan yang saya sediakan.

Comments

Popular posts from this blog

Inheritance Tax atau Cukai Pusaka Berpotensi Menimbulkan Kerumitan

Iktibar Kewangan Daripada Kisah Hidup Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Hutang PTPTN dan Tabungan Pendidikan